Thursday, April 21, 2011

Doa perisai hadapi sebarang bencana

DOA adalah satu permintaan atau permohonan seseorang Muslim kepada Allah SWT bertujuan memperoleh sesuatu yang dihajati. Doa sebagai satu senjata umat Islam sering kita lupakan terutama ketika menghadapi pelbagai masalah sepanjang kehidupan di dunia ini. Doa seperti ditegaskan oleh Rasulullah sebagai ’senjata’ kepada orang mukmin perlu disedari dan dihayati sepenuhnya oleh umat Islam. Doa menjadi tanda kepada perhambaan seorang manusia kepada Allah iaitu dengan cara merintih dan merayu kepada-Nya serta mengadu segala hal dan permasalahan dengan air mata berlinangan tanpa mengharapkan pertolongan selain daripada Allah sebagai Tuhan yang Maha Mendengar dan Mengasihani hamba-Nya. Sesungguhnya, persoalan doa bukan sekadar fungsinya sebagai cara pengaduan kepada Allah tetapi juga turut diiktiraf sebagai ibadah yang amat agung. Ini bertepatan dengan firman Allah SWT yang bermaksud: “Dan katakanlah (wahai Muhammad), berdoalah kepada-Ku. Nescaya Kumakbulkan permintaanmu. Sesungguhnya mereka yang takbur dan enggan beribadat kepada-Ku akan dicampakkan ke dalam neraka Jahanam yang perit azabnya.” (Surah al-Ghafir: ayat 60) Dalam ayat itu, Allah menerangkan doa adalah satu wasilah pengaduan seseorang hamba kepada Tuhannya yang dijamin akan diperkenankan permintaan itu sama ada di dunia ini disegerakan permintaan itu) atau di akhirat (ditangguhkan atau diberikan pahala kepadanya atas ibadah doa dikerjakan). Doa memainkan peranan penting melembutkan hati dan dibukakan jalan untuk mendapat hidayah Allah. Bukan semua orang yang Allah berikan keinginan untuk berdoa dan menadah tangannya di hadapan Allah, bahkan ramai malas dan berdoa hanya sekadar untuk mencukupkan syarat tanpa rasa gerun dan takut kepada Allah; tunduk dan merasai kehebatan dan keagungan-Nya serta penuh pengharapan di hadapan Allah. Apabila malas berdoa mula melebar dalam diri kita, perlu melakukan muhasabah ke dalam hati kita, mungkin ada yang tidak kena atau ada perkara menghalang sehingga kita tidak dapat merasai kemanisan berdoa. Doa dilafazkan oleh seseorang Muslim itu amat mustajab dan mampu mendatangkan kesan dengan izin Allah. Selain itu, seseorang Muslim harus sedar keengganannya untuk berdoa kepada Allah akan menyebabkan kemurkaan Allah kepadanya. Apabila seseorang itu memohon kepada selain daripada Allah ketika dalam kesulitan, dia dianggap mensyirikkan Allah. Di samping itu, keengganannya juga menggambarkan takbur dan merasakan diri sudah cukup tanpa memerlukan pertolongan daripada Allah. Ia jelas bertentangan dengan prinsip kehambaan seorang hamba terhadap tuannya apatah lagi terhadap Allah yang Pencipta sekalian alam. Allah menjadikan doa sebagai perisai kepada golongan mukmin dan mereka yang sentiasa mengharapkan keredaan-Nya. Dalam beberapa riwayat ada dinyatakan golongan yang doa mereka amat mustajab dan dikabulkan oleh Allah. Antara yang tergolong dalam golongan ini ialah : Pertama, mereka yang dizalimi. Ia termasuklah golongan yang dihina, dihalau daripada tempat kediaman mereka tanpa hak atau bentuk kezaliman yang lain; Kedua, golongan yang bermusafir untuk tujuan yang baik; Ketiga, doa kedua-dua ibu bapa kepada anaknya, Keempat, doa mereka yang menunaikan ibadah haji atau umrah. Di sini jelas betapa mereka yang berada dalam situasi sedemikian sememangnya Allah muliakan dan doa mereka juga dijanjikan oleh Allah akan dimakbulkan selagi tidak membawa kepada maksiat atau kejahatan. Selain itu, doa yang mustajab juga ialah doa daripada seorang sahabat kepada sahabatnya yang lain kerana Allah; dan sahabatnya itu tidak mengetahui bahawa dia sedang didoakan oleh seseorang. Di samping itu, individu yang mendoakan sahabatnya itu juga akan diberikan ganjaran dan diberikan kebaikan seperti dia mendoakan sahabatnya itu. Setiap Muslim perlu memahami doa dimakbulkan oleh Allah atas permintaan hamba-Nya itu adakalanya dikurniakan berdasarkan apa yang dimintanya atau dipaling iaitu menjauhkan daripadanya sesuatu kejahatan setaraf dengan doanya itu atau Allah menangguhkan dahulu permohonan hamba itu untuk dijadikan sebagai pahala pada akhirat kelak. Rasulullah saw bersabda bermaksud: “Tiada seorang Muslim berdoa tidak mengandungi dosa atau mengarah kepada pemutusan hubungan kekeluargaan, melainkan Allah akan mengurniakan baginya salah satu daripada tiga keadaan, iaitu (1) segera dikabulkan doanya; (2) disimpan untuk diberikan di akhirat; (3) atau kerana doanya itu maka Allah menjauhkan dia daripada kesulitan.” Oleh Ahmad Tarmizi Zakaria

No comments:

Post a Comment