Thursday, February 9, 2012

Tipu daya syaitan


Oleh Imam Ghazali (Minhajul Abidin)

tornado_warning.JPG

Tipu daya syaitan terhadap manusia supaya meninggalkan ibadat kepada Allah ada TUJUH perkara:

Pertama: Syaitan melarang manusia taat kepada Allah. Sedangkan orang-orang yang dipelihara Allah akan menolak ajakannya dan mengatakan:

“Aku mengharapkan pahala dari Allah. Untuk itu, aku harus mempunyai bekalan di dunia ini demi akhirat yang kekal.”

Kedua: Syaitan sentiasa memujuk manusia agar tidak mentaati Allah. Dia menghasut manusia dengan mengatakan :

“Nanti sahajalah, kalau sudah tua nanti barulah, masa masih panjang dan kita masih muda atau sebagainya lagi.” Orang-orang yang terpelihara akan menolaknya dengan mengatakan: “Kematianku bukan berada ditanganmu. Jika aku menundakan amalanku hari ini untuk esok, sehingga amal hari esok perlu aku kerjakan. Sedangkan setiap hari aku mempunyai amal berlainan.”

Ketiga: Syaitan sentiasa mendorong manusia untuk bersegera dalam melakukan amalan kebaikan. Kata syaitan:


“Cepat beramal agar engkau dapat mengejar dan mengerjakan amalan-amalan lain.” Orang-orang yang selamat akan menolaknya dengan mengatakan: “Amal yang sedikit tetapi sempurna lebih baik daripada amalan yang banyak tetapi tidak sempurna.”
Keempat: Kemudian, syaitan akan menyuruh manusia untuk menjalankan amalan yang baik secara sempurna agar tidak dicela oleh orang lain. Mereka yang dipelihara oleh Allah akan mengatakan:
“Bagi saya, penilaian cukup hanya dari Allah Ta’ala dan tidak ada manfaatnya beramal kerana manusia (orang lain).”
Kelima: Setelah itu, syaitan membisikkan pujian kepada orang yang beramal: “Betapa tinggi darjatmu kerana dapat beramal soleh dan betapa cerdik dan sempurnanya dirimu.” Mendengar pujian ini, orang yang baik akan mengatakan bahawa:
“Semua keagungan dan kesempurnaan itu hanyalah kepunyaan Allah dan bukan kekuatan atau kekuasaanku. Allah yang melimpahkan taufik kepadaku untuk dapat beramal sehingga Dia meredhai dan memberikan pahala yang besar. Sekiranya tanpa kurniaanNya, apalah erti amalanku ini, jika dibandingkan dengan nikmat Allah yang telah diberikan kepadaku, disamping dosaku yang bertimbun pula.”
Keenam: Dengan gagalnya jalan kelima, syaitan akan menerapkan cara yang keenam. Cara ini lebih berat jika dibandingkan dengan cara-cara yang terdahulu dan manusia tidak akan menyedarinya kecuali orang-orang yang cerdik dan berfikir. Syaitan berbisik dalam hati manusia: “Bersungguh-sungguhlah engkau beramal dengan sir (kejahatan), jangan sampai diketahui oleh orang lain kerana Allah jualah yang akan memberitahu orang lain bahawa engkau adalah seorang hamba Allah yang ikhlas.” Begitulah syaitan mencampur-baurkan amalan seseorang dengan penipuannya yang sangat tersembunyi. Dengan ucapannya itu syaitan bermaksud untuk memasukkan sedikit perasaan riak. Orang-orang yang dipelihara Allah akan menolak ajakannya dengan mengatakan:
“Hai malaun (yang dilaknat), engkau tidak henti-henti menggodaku dan merosakkan amalanku dengan pelbagai cara. Dan kini, kau berpura-pura seolah-olah akan memperbaiki amalanku, padahal engkau bermaksud merosakkannya. Aku adalah hamba Allah dan Allah yang menjadikanku. Jika berkehendak, Allah akan menjadikan aku mulia atau hina. Semuanya itu adalah urusan Allah. Aku tidak khuatir, amalanku diperlihatkan atau tidak kepada orang lain, sebab itu bukan urusan manusia.”
Ketujuh: Gagal dengan cara itu, syaitan akan meneruskan godaannya dengan cara lain lagi. Dia mengatakan: “Hai manusia, janganlah engkau menyusahkan diri sendiri dengan beramal ibadat kerana jika Allah telah menetapkan kamu sebagai orang yang berbahagia pada hari azali kelak, maka meninggalkan ibadat pun tidak akan memberikan sebarang mudharat. Engkau tetap menjadi orang yang berbahagia dan sebaliknya jika Allah menetapkan kamu sebagai seorang yang celaka, maka tidak ada gunanya engkau beribadat kerana engkau tetap akan celaka.” Orang-orang yang dipelihara oleh Allah sudah pasti akan menolak godaan itu dengan mengatakan:
“Aku hanyalah hamba Allah. Wajib bagiku menuruti perintahNya. Allah Maha Mengetahui, menetapkan sesuatu dan berbuat apa sahaja sesuai dengan kehendakNya. Walau bagaimanapun keadaanku, amalanku tetap bermanfaat. Jika aku ditetapkan sebagai orang yang berbahagia, aku akan tetap beribadat untuk memperbanyakkan pahala. Sebaliknya, jika aku ditetapkan sebagai orang yang celaka, aku akan tetap meneruskan perbuatan ibadat agar tidak menjadi sebuah penyesalan bagiku. Sekiranya aku masuk neraka, padahal aku taat, itu adalah lebih aku sukai daripada aku masuk neraka kerana melakukan maksiat. Tetapi tidak akan demikian akibatnya kerana janji Allah pasti terbukti dan firmanNya pasti benar.”
Allah telah menjanjikan pahala kepada sesiapa sahaja yang taat kepadaNya. Barangsiapa mati dalam keadaan beriman dan taat kepada Allah, dia tidak akan dimasukkan ke dalam neraka, melainkan syurgalah tempatnya. Jadi, masuknya seseorang ke dalam syurga bukan kerana kekuatan amalan yang telah didirikan, tetapi kerana janji Allah yang suci murni dan pasti!!

Kelak, orang-orang yang berbahagia dan beruntung akan mengatakan:
“Segala puji bagi Allah yang membuktikan janjiNya dengan syurga.”
Semoga Allah melimpahkan rahmatNya kepada kita. Sesungguhnya dalam mentaati Allah, terlalu banyak godaan dan tipu daya syaitan yang perlu kita lalui. Bandingkan segala permasalahan dan perbuatan kepada keadaan tersebut dan pohonlah perlindungan Allah Ta’ala agar terlindung dan terpelihara dari kejahatan syaitan. Sesungguhnya segala sesuatu itu berada di bawah kekuasaan Allah dan kepadaNyalah kita mengharapkan taufik dan keredhaan.

“Tiada daya untuk meninggalkan maksiat dan tidak ada kekuatan untuk mengerjakan ketaatan kecuali dengan pertolongan Allah yang Maha Luhur dan Maha Agung.”

Tuesday, February 7, 2012

'Mana Satu Pilihan Hati..

Saya bertanya kepada emak, "mana satu pilihan hati, orang yang sayangkan kita atau yang kita sayang? "


Mak jawab, "dua-dua bukan.."
Saya tercengang.. Mak mengukir senyuman.


"Pilihan hati mak adalah yang sayangkan kita kerana Allah.." Saya menarik nafas dalam-dalam.


"Macam mana nak tau orang tu sayang kita kerana apa?" Mak diam sekejap berfikir dan kemudian tersenyum.


Rasanya mak dapat menduga apa yang sedang bermain dalam hati anak perempuannya. Mana mungkin saya mampu menyorokkan rahsia hati dari mak sedangkan sekilas saya pun mak mampu membacanya
."Yang paling tahu hanya Allah.." mak merenung dalam-dalam wajah anaknya. "Kerana hanya Allah mampu membaca hati hambaNya.. " mak menyusun ayat-ayatnya. "Dan keikhlasan kerana Allah itu akan terserlah keberkatannya tanpa perlu sengaja ditonjokan oleh seseorang tu.."


Saya memintas, "Tak faham.."


Mak menyambung "Cinta di dalam jalan Allah.. Bertemu kerana sama-sama mencari redha Allah.." Mak menyambung lagi, "begini, setiap insan yang bergelar manusia telah Allah ciptakan berpasang-pasangan. Rasa ingin dikasihi antara seorang suami dan isteri suatu fitrah. Automatik boleh ada daya tarikan magnet tu.." Wajah saya merah, sedikit cemas jika mak dapat mengesan gelora jiwa muda ini.. Mak menyambung "Setiap manusia telah Allah tetapkan rezeki, jodoh dan maut sejak azali lagi.. Persoalannya ialah.. Siapakah jodohnya itu?" mak berhenti seketika. Saya tunduk malu, cuba menyorokkan rasa panas di pipi. Emak buat-buat tidak nampak.


Secret Admire


"Kakak, mak dulu masa remaja ada secret admire.. Rajin betul dia hantar surat .. Masa tu mak dah tahu yang bercinta sebelum kahwin ni tak halal.. Dan masa tu mak tekad tak mahu layan sebab mak takut arwah tok wan kena seksa dalam kubur.. Mak sedar mak anak yatim, anak orang miskin, adik beradik ramai.. Mak nak belajar sungguh-sungguh.. Lama budak tu tunggu mak..Akhirnya mak bagi kata putus, mak hanya akan membalas cinta dia jika dia sah suami mak.. Dan dia memang bukan jodoh mak, maka tak pernah dia menerima balasan cinta tu." Mak merenung jauh. Saya merapatkan badan kepada emak, semakin berminat dengan kisah lama mak..


"Mak memang tak ada perasaan lansung pada dia ke?" saya menyoal sambil memandang tajam wajah mak. Emak ketawa kecil. "Walaupun mungkin ada, mak tak pernah bagi peluang pada diri mak untuk mengisytiharkan perasaan tu.. Mak takut pada Allah. Mak bukan seperti rakan sebaya mak yang lain.. Mak, seperti kakak.." mak memandang saya sambil memegang pipi dan dagu saya. Kemudian tangannya mengusap rambut di kepala saya.


"Mak anak ustaz ustazah.. Tapi zaman tu ustaz ustazahnya masih berkebaya pendek dan ketat. Tok wan mak kiyai. Mungkin berkat doa keturunan sebelum ni yang soleh-soleh, hati mak tertarik sangat pada agama walaupun tiada sesiapa yang mendorong.. Bila di sekolah, mak pelajar pertama yang bertudung.. Mak membawa imej agama. Kawan-kawan dan cikgu-cikgu panggil mak dengan gelaran mak Aji.. Sebab zaman tu hujung 70an dan awal 80an tak ramai lagi yang bertudung betul menutup auratnya.. Zaman tudung nipis dan nampak jambul. Kemudian kawan-kawan mak sikit-sikit ikut bertudung.Akhirnya kami semua dipanggil di perhimpunan. Kami dimarah guru besar kerana bertudung sedangkan ustazah kami bertudung tapi nampak jambulnya.." emak melemparkan pandangan ke lantai.


"Selepas tu ustazah jumpa kami secara persendirian. Ustazah kata dia tak mampu nak pakai seperti kami. Dia suruh kami teruskan.." sambung emak. Ada getar di hujung suara emak. Kisah silam perjuangan emak di sekolah dahulu sikit-sikit emak ceritakan pada saya. Itulah juga salah satu inspirasi kepada saya untuk bangkit semula setiap kali terjatuh ketika berjuang di sekolah dulu.


"Mungkin kerana personaliti mak, mak menjadi tempat rujukan kawan-kawan mak.. Jadi, bila mak nak ambil sesuatu tindakan, mak kena fikir betul-betul sama ada tindakan mak tu akan menyebabkan Allah marah atau tidak. Mak ayah berdosa tak? Dan maruah pembawa agama terjejas tak? Kalau mak membalas cinta si lelaki tadi, bermakna mak sedang menconteng arang di muka-muka pembawa-pembawa agama. Orang akan pandang serong terhadap orang yang bertudung sedangkan kesilapan tu hanya seorang dua yang buat. Besar fitnah akan timbul apabila orang-orang agama mengambil ringan batas syariat duhai anak.." mak menelan air liurnya. Saya diam. Fikiran saya sedang cuba memahami maksud mak saya.


Adakah ia suatu diskriminasi?


"Kakak.. Jatuh cinta perkara biasa. Apabila kita jatuh cinta pada seseorang, itu tandanya ada sesuatu keistimewaan pada seseorang tu. Apatah lagi orang yang kita jatuh cinta tu di atas jalan dakwah ni.. Tetapi kita kena ingat.. Kita tak akan dikahwinkan dengan seseorang atas sebab jatuh cinta atau saling cinta mencintai.. Bercouple mungkin.. Tetapi bukan berkahwin... Kerana kita berkahwin dengan jodoh kita, jodoh yang Allah dah tetapkan sejak azali.. Dan tak mustahil orang yang kita paling benci itulah jodoh kita yang kita akan dikahwinkan dengannya.." Tiba-tiba air mata saya mengalir. Argh! Ego saya kalah bila mendengar hujah emak. Emak meneruskan,


"Allah itu Maha Adil.. Dia tak pernah menzalimi hambaNya.. Sesungguhnya, yang selalu menzalimi hambaNya ialah diri hamba tu sendiri.. Sebabnya hamba tu degil. Dia mahukan yang bukan haknya, yang bukan milik dia. Mencintai seseorang tidak semestinya memilikinya.Dalam Islam, kita dah diajar untuk saling mencintai antara satu sama lain seperti diri sendiri.. Jadi apabila kita mencintai saudara perempuan, kita bebas peluk dia. Tetapi bila dengan lelaki, kita ada batas-batasnya. Orang kafir kata batas-batas ini suatu diskriminasi, tetapi sebenarnya batas-batas syariat itulah yang memelihara kehormatan seorang lelaki dan seorang perempuan. Cuba kakak renungkan, kita mengenali seorang insan yang amat baik, sempurna agamanya dan rajin. Lalu kita jatuh hati padanya. Ditakdirkan jodohnya dengan insan lain, kita pula dengan yang lain.. Tetapi itu tidak bermakna ukhwah antara kita dan dia terputus.. Kita dan dia sama-sama mencari redha Allah.. Kita dan dia masih boleh sama-sama bekerjasama untuk mencari redha Allah.. Perbezaannya, dia halal untuk isterinya sedangkan untuk kita, dia tetap lelaki ajnabi seperti yang awalnya." emak berhenti seketika..


Bukan luar biasa


Tentu kering tekak emak menerangkan kepada saya persoalan hati ini. "Kakak.. jadi di sini mak nak kakak faham, jatuh cinta bukan perkara luar biasa.. Dan berkahwin pun bukan suatu jaminan untuk tak jatuh cinta pada lelaki lain.. Kerana itulah ramai isteri yang curang, suami yang curang.. Ada orang tukar pasangan macam tukar baju. Apa yang penting ialah kita kena perjelaskan pada diri kita supaya setiap kali kita jatuh cinta, jatuh cinta itu kerana kita jatuh cinta kepada Pencipta dia. Kita bagi tau pada diri kita berulang kali yang kita mencintai Allah, kerana itu kita mencintai si dia. Letakkan Allah sebagai sempadan hati kita, segala perkara yang kita cintai dan sayangi termasuk mak abah adalah kerana mencintai Allah.. Dan apabila kita membenci seseorang atau sesuatu, beri tahu pada diri sendiri berulangkali yang kita benci sekian-sekian hal kerana Allah semata-mata.."


"Kakak.. Hati kita ni walaupun dalam dada kita sendiri, ia tetap bukan milik kita. Kita tak mampu untuk mengawalnya.. Hanya Allah yang boleh memegangnya.. Sebab tu kita kena dekatkan diri dengan Allah.. Sebab kita nak dia pegang kukuh-kukuh hati kita. Bila dia pelihara dan masuk dalam hati kita, itulah nikmat lazatnnya bercinta. Masa tu biarpun satu dunia menyakiti kita, kita tak rasa sakit sebab kita asyik dengan nikmat bercinta dengan Allah.. Bercinta dengan Allah sangat berbeza dari bercinta dengan manusia. Kerana tentulah pegalaman bercinta dengan lelaki kaya, rupawan, sempurna dan bijaksana tak sama rasanya bercinta dengan lelaki miskin, hodoh, cacat dan dungu.. Betapa nikmatnya cinta Allah, hanya mereka yang pernah merasai sahaja yang mampu mengerti. "


Redha


"Kakak.. Walau siapa pun jodoh yang Allah hantarkan untuk kakak, terimalah dengan hati yang redha.. Tak mustahil dia adalah orang yang kita benci. Kalau yang kakak sayang, tak jadi hal lah.. Tapi kalau dapat yang kakak tak nak, lantaran kelemahan yang ada pada dia, ingatlah bahawa dalam diri setiap insan telah Allah ciptakan dengan kelebihan masing-masing. Dan mungkin kakak ada kekuatan yang dapat mengubah si lelaki tadi supaya hidup dia bermakna dan mungkin kakak sahaja yang mampu mencungkil kelebihan yang ada pada dia.. Mungkin juga si lelaki ini ada sesuatu kelebihan yang kakak sangat-sangat perlukan yang satu dunia tak mampu bagi pada kakak.. Alangkah bertuahnya kakak kalau kakak mengerti setiap pemberian Allah dan belajar untuk bersyukur.. " Sekali lagi berjuraian air mata saya turun. Terasa lemah lutut hendak berdiri.


Emak menarik tubuh saya dan memeluk erat. Pelukan emak sangat-sangat kuat. "Emak dah didik anak emak dari belum lahir untuk mencintai Allah.. Sekarang emak serahkan anak emak yang mak sayang sangat ni pada Allah untuk Dia pelihara.." Emak mengakhiri kata-katanya dengan suara sebak dan air mata yang mengalir ke bahu saya...

Tuesday, January 31, 2012

Asalkan Kau Terus Melangkah


 Sahabatku
Biar ujian seberat gunung
Walaupun kau jatuh ke lubuk yang dalam
Terperosok
Hitam dan seakan-akan tiada cahaya
Jangan kau mengalah
Teruslah melangkah

Teruskan melangkah
Walaupun ia tidak mudah
Biar langkahanmu kecil atau tidak gagah
Ku tahu
Pasti ia berat dan payah
Namun itu semua tidak menjadi masalah
Asalkan kau terus melangkah
Ya, asalkan kau terus melangkah

Bangkitlah!
Angkat wajahmu
Bersihkan kotoran di bajumu
Buka jendela yang menutupi ruang-ruang hidupmu
Keluarlah dikau
Dan lihatlah sinar mentari itu!

Sahabatku
Teruskan langkahanmu
Lagi.. dan lagi
Jangan sesekali kau hentikannya
Ya
Jangan.. dan jangan
Kerana aku
Amat-amat Teringin
Agar dikau dapat sama-sama merasai
Keindahan hari esok itu ^_^

Teruskan langkahanmu, wahai sahabatku. . .
kau tidak berseorangan
Allah bersamamu
dan kami jua dibelakangmu..


Pernah merasa 'down' yang teramat?

Dunia dirasakan sungguh gelap bagi diri, seperti tiada lagi cahaya harapan buat hari esok. Daya dan tenaga juga seakan-akan sirna untuk meneruskan hari-hari kehidupan yang berbaki. Bisikan-bisikan kecewa dan putus asa sentiasa tenggelam timbul menjengah fikiran, menyuruh engkau agar berputus harap. Pasti kau pernah merasainya bukan?

Namun sahabat, jangan. Jangan. Jangan sesekali kau berputus asa daripada rahmat Tuhan. Allah itu hakikatnya dekat dengan kita. Ya, sungguh dekat. RahmatNya itu mampu meliputi segala. Apa yang perlu kau lakukan, hanyalah dengan tetap bertahan. Jangan mengalah!

Yakinlah, mungkin hari ini engkau merasakan duniamu kelam, namun bulan hadapan, minggu hadapan, bahkan mungkin jua mulai hari esok, duniamu akan kembali tersinar dengan cahaya-cahaya rahmatNya. Ya, yakinlah. Sesudah kesusahan itu pasti akan datangnya kemudahan. Dan ia akan mampu kau rasai hanyasanya engkau tetap bertahan.

Hanyasanya engkau tetap bertahan.

Maka apabila engkau diuji lagi sedemikan rupa, katakanlah pada dirimu, "Aku mampu bertahan!"
Dan letaklah keyakinan dan tawakkalmu kepadaNya. Sungguh, rahmat Allah pasti tidak jauh darimu.

Yang utama, walau apapun yang terjadi.. Walau apapun yang terjadi...

Asalkan kau terus melangkah. . .

" Berangkatlah kamu baik dengan rasa ringan maupun dengan rasa berat, dan berjihadlah dengan harta dan jiwamu di jalan Allah. Yang demikian itulah lebih baik bagimu jika kamu mengetahui."
- Surah At-Taubah : 41 -

Monday, January 30, 2012

Hak Seorang Suami Ke Atas Isteri

Sekali lagi berbicara mengenai perkahwinan. kali ini mengenai hak pasangan terhadap pasangannya setelah berumahtangga. saya memilih untuk meletakkan hak2 seorang suami ke atas isterinya. kenapa? sebab saya adalah lelaki dan bakal bergelar suami. dan mungkin ia juga dedikasi buat2 sahabat2 saya yang semakin galak mendirikan masjid ataupun menyimpan hasrat untuk mendirikan masjid samada secara diam2 ubi berisi ataupun secara terang2an.Seorang suami sebenarnya diibaratkan sebagai ketua dan raja di dalam rumahtangga. kemuliaan dan kehebatan seorang suami bukan sahaja perlu diakui bahkan sewajibnya ia digahkan oleh mereka yang bergelar suami. kerana apa? sekiranya suami mengambil remeh persoalan kehebatannya sebagai raja, maka dibimbangi ia akan menjerumuskan ia menjadi seorang suami yang dayus. sedangkan di dalam sebuah Hadith disebutkan bahawa :

“suami yang dayus tidak akan masuk syurga”
Saya tidak ingin menghuraikan persoalan dan faktor kepada seseorang suami menjadi dayus atau dihukum sebagai dayus. dayus bukan sahaja boleh terjadi kepada suami bahkan juga kepada seorang ayah atau ketua.cukuplah saya katakan antara punca berlaku dayus ialah apabila seorang suami tidak memahami hak2 dirinya terhadap isteri, sehingga akhirnya si isteri mengambil lekeh dan memandang rendah terhadap kemuliaan dan ketinggian martabat seorang suami.gelaran suami sebagai pemerintah dan raja keluarga akhirnya diketepikan sehingga timbul istilah2 seperti “Queen Control” dan sebagainya. bagi saya ia sesuatu yang ‘aib!baiklah , kembali kepada perbincangan hak2 seorang suami ke atas isteri. bermakna ia adalah hak yang wajib diambil berat dan ditunaikan oleh si isteri terhadap suaminya.

Pertama : memperelokkan akhlak di hadapannya
akhlak yang baik merupakan hiasan dan diibaratkan seperti bunga apabila ia wujud pada diri seseorang. seorang isteri lebih2 lagi patut menjaga akhlaknya di hadapan suami sehingga menjadikan si suami kagum dan hormat kepadanya. ia juga termasuk menjaga dan memelihara sifat malunya. semua ini akan menyebabkan si suami sentiasa memandangnya dengan rasa puas hati dan berkata2 dengannya dengan rasa gembira.
Kedua : menghormati ahli keluarganya
menyatukan dua keluarga bukanlah perkara mudah. sering terjadi pelbagai perselisihan dan salah faham. mertua kadang2 tidak menyukai menantunya dan menantu pula seringkali bosan dengan kerenah mertua. semua hal ini memerlukan percaturan bijak dari pihak isteri. meskipun tidak mampu menyelesaikan masalah, sekurang2nya ia perlu berusaha untuk menjernihkan suasana. seorang wanita selalunya lebih mudah mengalah berbanding seorang lelaki.
Ketiga : mengambil berat persoalan kecantikan dan keindahan penampilannya di hadapan suami
perkara paling penting adalah memastikan dirinya sentiasa cantik,indah dan harum di mata suami. kata orang ; barulah suami tak cari lain. seorang isteri yang sayangkan suaminya bukan sahaja tidak mahu suaminya cari lain, bahkan tidak sanggup walaupun hanya sekadar jelingan suaminya pada perempuan lain. justeru, ambil beratlah persoalan kecantikan dan penampilan anda di hadapan suami. jadilah wanita paling cantik,bergaya bahkan paling seksi ( maaf sebut ) bilamana berada dirumah.ramai isteri menjadikan alasan kerjaya dan tugasan rumah sebagai penghalang untuk sentiasa jelita di hadapan suami. bagi saya, cubalah berusaha semampu mungkin. anda mengetahui hak suami terhadap anda dan anda mengetahui cara untuk menjadikan suami anda tertarik kepada anda. berusahalah demi cinta anda padanya.
Keempat : mengambil berat tentang pendidikan terhadap anak2
saya kira ini sudah dimaklumi oleh semua isteri. ramai sekali suami yang apabila mencari isteri, maka diniatkan supaya isterinya menjadi guru dan pendidik yang paling baik terhadap anak2nya nanti. tanggungjawab mendidik anak lebih besar terletak di bahu seorang isteri, sejak anak tersebut mula2 lahir lagi. yelah, keluar pun dari perut ibunya bukan.
Kelima : memuliakan sahabat2 suami seadanya
sahabat merupakan insan yang penting kepada suami, maka hal ini seharusnya difahami sebaik mungkin oleh isteri. janganlah menjatuhkan maruah suami di hadapan sahabat2nya hanya disebabkan kebodohan kita. jangan terlebih malu dan jangan terlalu jumud. jadilah isteri yang cerdik.
Keenam : memenuhi setiap hajat dan kemahuan suaminya
sabda Nabi s.a.w :
“apabila seorang suami memanggil isterinya ke tempat tidur lalu isteri tersebut enggan ( tanpa sebab munasabah ) maka si isteri akan diLAKNAT oleh Malaikat sehingga waktu fajar.”
bayangkan kalau anda tidur dalam keadaan suami tidak redha bahkan marah terhadap anda, maka para Malaikat mendoakan “celaka!” kepada anda sehingga waktu pagi, agak2nya berapa banyak kecelakaan yang bakal menimpa diri anda? justeru sentiasalah bersedia untuk suami.seorang isteri yang baik tidak menunggu sehingga dipanggil oleh suami bahkan dia sendiri yang siap sedia untuk ‘menyambut’ si suami. melainkan kiranya anda benar2 sakit ataupun mempunya keuzuran maka berbicaralah dengan baik kepada suami anda sehingga dia faham dan redha terhadap anda.
Ketujuh : tidak mengkhianati suami di belakangnya
zaman mutaakhir ini wujud pelbagai gejala pelik. bukan setakat suami main kayu tiga bahkan isteri juga turut berani melakukan perkara yang sama! tidak dinafikan wujud masalah2 rumahtangga seperti kehendak batin yang tidak tertunai,lemah syahwat si suami dan sebagainya. namun perlu difahami bahawa ia sesuatu yang boleh dan mesti diatasi. berbincanglah secara baik tentang kehendak anda, atau pujuklah suami untuk berubat dan sebagainya.berlaku curang atau mengkhianati suami dibelakangnya hanya menyebabkan anda jatuh kepada kemelut zina. bukan sahaja maruah anda sebagai wanita,isteri dan ibu dipijak2 oleh jantan keparat bahkan anda juga menerima laknat Allah yang tiada sudah.
Kelapan : tidak membiarkan seorang pun masuk ke rumah melainkan dengan izin suami
tanggungjawab menjaga rumah,memelihara keamanan dan keceriaannya adalah tugas seorang isteri bilamana suaminya sibuk bekerja mencari nafkah. disamping memastikan keadaan rumah tidak terabai, isteri juga haram mengizinkan seorang tetamu masuk ke rumah melainkan setelah mendapat keizinan suaminya.
Kesembilan : tidak keluar rumah melainkan dengan kebenaran suami
sabda Nabi s.a.w :
” seorang isteri yang keluar rumah tanpa keizinan suami maka dia diLAKNAT oleh sekalian makhluk sehinggalah dia kembali”.
apa yang ingin saya sebut adalah, persoalan meminta izin adalah suatu perkara yang besar. apabila anda dinikahi bererti anda telah dimiliki oleh suami. anda adalah hak suami anda. meminta izin bukan sahaja memuliakan si suami bahkan menjadikannya bertambah sayang kepada anda.kecuali dalam perkara wajib cth menuntut ilmu fardhu ain kiranya suami tidak mampu mengajarnya maka boleh keluar rumah untuk tujuan tersebut sekalipun suami tidak memberi keizinan. hukumnya tidak berdosa.

Kesepuluh : memelihara sifat malunya pada tahap paling tinggi di hadapan suami
perkara terakhir adalah berkait dengan ketinggian akhlak seorg isteri di hadapan suami. sifat malu adalah suatu nilaian tinggi yang perlu dijaga sebaik2nya di hadapan suami anda.JANGAN sesekali beranggapan bahawa anda tidak perlu ‘control’ sifat malu anda di hadapannya atas alasan dia adalah suami. ‘tidak ada apa yang perlu disorokkan.’ini jelas sekali suatu anggapan yang silap. seorang suami kiranya tiap2 hari dapat melihat suatu ‘frame gambar’ yang indah dengan mudah maka lama kelamaan akan bertukar menjadi jemu. sesuatu yang mahal dan agak sukar diperolehi akan menjadikan si suami ternanti2 dan tertunggu2. ( hanya untuk mereka yang faham ).inilah serba sedikit pandangan dangkal dari saya. sekiranya ada kesalahan mohon ditegur dan diperbetulkan. saya menulis berdasarkan pengetahuan dan secebis pengalaman yang ada.
Wallahua’lam