Showing posts with label PETUA. Show all posts
Showing posts with label PETUA. Show all posts

Sunday, September 8, 2013

Misai Kucing mengurangkan sakit Gout





Saya baru-baru ini mengamalkan minum air daun misai kucingatas nasihat seorang kawan dan dari maklumat yang dibaca di buku dan internet.

Saya telah mengalami sakit gout yang agak kronik sejak 15 tahun lalu dan sering bergantung kepada ubat klinik terutama aloporinol dan ubat tahan sakit.

Sering kali air kencing agak kuning pekat dan berbuih.

Tetapi selepas minum air rebusan misai kucing sakit agak berkurangan dan terkawal disamping air kencing berwarna jernih putih.

Kini saya terus mengamalkan meminum samada teh misai kucing yang sedia ada dipasaran atau air daun misai kucing segar yang ditanam sendiri di halaman rumah.

(Rujukan:
http://fazlisyam.com/2009/08/04/misai-kucing-mengurangkan-sakit-gout/)

Wednesday, January 11, 2012

Petua Kecantikan Semulajadi


1.Petua menjaga muka

Menghaluskan kulit muka

a) Ambil sebiji tomato masak dan kisar halus. Kemudian lumurkan pada muka kira-kira 20 minit. Setelah itu, bersihkan muka dengan air suam. Amalkan selalu. Buah tomato ini juga berfungsi untuk membersihkan kulit.

b) Bancuhkan sedikit asam jawa bersama sedikit air dan tepung ubi. Kemudian kacau hingga sebati. Pastikan bancuhan tidak terlalu cair. Setelah itu, pupurkan pada muka dan biarkan selama 15 minit. Bilas dengan air bersih.

Menegangkan kulit muka

a) Ambilkan sedikit tepung ubi kayu dan mentimun tetapi sebelum itu mentimun hendaklah dihancurkan sehingga lumat. Kemudian campurkan kedua-dua bahan tadi dengan sedikit air. Pastikan bancuhan tidak terlalu cair. Setelah itu, sapukan ke muka dan biarkan ia kering. Kemudian basuh dengan air bersih.

b) Rebus segenggam biji kani@manjakani di dalam periuk tanah sehinggalah ianya menggelegak dan pekat. Tunggu sehingga ianya suam. Kemudian sapukan pada wajah dan tunggu sehingga kering. Setelah itu, cucilah wajah dengan air bersih. Amalkan selalu.

Menghilangkan jerawat

a) Campurkan sedikit asam jawa dengan bedak sejuk. Selawat sebanyak 3 kali. Kemudian sapukan pada muka. Amalkan selalu, InsyaAllah jerawat akan beransur hilang.

b) Tumbukkan sedikit kulit kayu manis dan campurkan bersama dengan bedak sejuk. Lumurkan pada bahagian muka yang mengalami jerawat. Setelah itu, bersihkan muka dengan air bersih. Amalkan selalu.

Merawat kulit berkedut

a) Bersihkan sebatang lobak merah dan kemudian parutkan lobak itu. Selepas itu, campurkan parutan lobak bersama sesudu tepung jagung dan sebiji kuning telur. Kacau hingga sebati dan oleskan pada wajah sekali sehari. Amalkan selalu.

2.Petua menjaga rambut
Mengelakkan rambut gugur

a) Ambil segenggam daun bunga raya dan beberapa helai daun lidah buaya. Basuh bersih dan kisarkan kedua-dua hingga lumat. Perapkan bahan ini di atas kepala selama satu jam. Lakukan 2 kali seminggu. InsyaAllah rambut akan kekal kuat dan hitam semulajadi.

b) Rendamkan secawan kacang hijau semalaman. Kemudian tapis dan ambil airnya untuk disapu di atas kulit kepala sambil kulit kepala dipicit perlahan. Amalkan selalu. Selain itu, elakkan mengikat rambut dengan getah.

Menghilangkan kelemumur

a) Perahkan beberapa biji limau purut atau limau nipis di atas kulit kepala. Lumurkan sehingga rata dan biarkan selama beberapa jam. Untuk hasil terbaik, perapkan rambut dengan tuala. Amalkan selalu. Petua ini juga berguna untuk mengurangkan pening kepala.

Petua-petua ini boleh dicuba dan dilihat keberkesanannya tetapi harus diingat bahawa ianya akan mengambil masa untuk mengetahui keberkesannya. Oleh itu sesiapa yang mencuba petua-petua ini haruslah bersabar untuk mengetahui kesannya dan petua ini haruslah diamalkan selalu. Kebaikan mengamalkan petua yang berasaskan tumbuhan ini adalah kerana ia tidak mengandungi bahan kimia yang boleh memudaratkan manusia. Selamat mencuba!



Friday, December 2, 2011

Kenapa Kek Boleh Merekah?


Adakalanya kek yang kita buat boleh merekah. Kadang-kadang apabila hampir masak , ia merekah dan rekahannya sangat luas. Ada beberapa faktor yang menyebabkannya:

1. Suhu Oven Terlalu Tinggi – Suhu yang biasa membakar kek ialah 180 darjah celcius. Namun begitu setiap jenis oven mempunyai kepanasan yang berlainan. Apabila suhu terlalu panas, bahagian luar kek menjadi keras sedangkan bahagian dalamnya belum lagi kembang. Apabila bahagian dalam mengembang, ia akan menolak keluar dari permukaan kek maka terjadilah rekahan.

2. Terlebih Serbuk Penaik atau Soda – Jika serbuk penaik atau soda bikarbonat tidak disukat dengan betul, ia tidak seimbang dengan jumlah tepung yang digunakan. Akibatnya ia akan menjadi terlalu kembang dan boleh mengakibatkan rekahan.

3. Kek Terlalu Kering – Ini berpunca dari kandungan tepung yang berlebihan dalam resipi atau adunan kekurangan cecair. Keadaan ini menyebabkan kek kering dan boleh menyebabkan rekahan pada kek terutama kek mentega.

4. Acuan Terlalu Kecil – Kadangkala acuan yang digunakan terlalu kecil untuk menampung adunan yang disediakan. Sebaik-baiknya adunan hendaklah dituangkan hingga 1/2 acuan sahaja kerana adunan akan naik dan mengembang.

Untuk memastikan kek tidak merekah, pastikan perkara-perkara disebut di atas diperbetulkan. Letak kek di bahagian tengah oven supaya tidak terlalu panas. Masa membakar yang biasa bagi kek mentega ialah 1 jam dan kek span atau sifon pula lebih kurang 45 minit.

Monday, July 25, 2011

petua menghilangkan bau badan.


1. Ambil secawan air suam kemudian campurkan dengan beberapa
kuntum bunga cengkih. Kacau sebati dan minum tiga kali sehari.
Ulang selalu petua ini untuk mendapatkan hasil yang memuaskan.
Petua ini juga dapat mengatasi masalah bau nafas, ketiak dan
masalah keputihan bagi wanita.

2. Ambil sebiji limau purut, kemudian belah dua. Sapukan limau
tersebut ke bahagian bawah ketiak, biarkan seketika sebelum
dicuci. Lakukan tiga kali seminggu atau terpulang kepada anda
jika ingin melakukan lebih kerap. InsyaAllah bau badan yang
tidak menyenangkan akan hilang dan badan akan terasa segar dengan
haruman semula jadi dari perahan air limau purut. Limau nipis
juga boleh digunakan.



3. Jika ketiak anda hitam dan berbau, anda boleh menyapukannya
dengan kapur sireh dan limau nipis, apabila anda selesai mandi.
Amalkan cara ini selama seminggu, anda akan dapati ketiak anda
cerah dan tidak berbau.

4. Ambil beberapa helai daun jambu batu dan segenggam beras dan
digoreng. Bahan-bahan ini hendaklah ditumbuk halus. Kemudian
sapulah di bahagian yang bermasalah (ketiak). Anda hendaklah
lakukan sekerap mungkin sehingga bau badan anda hilang. Jika bau
tersebut hilang, anda boleh gosokkan di tempat tertentu seminggu
sekali.

5. Ambil beberapa biji limau kasturi. Kemudian potong empat,
selepas itu sapukan limau tersebut di seluruh badan. Lakukan
seminggu sekali, pasti bau badan anda harum dan segar selalu.


Wednesday, March 30, 2011

Petua & khasiat Madu Lebah


Berikut beberapa petua & khasiat Madu Lebah
Petua 1 : Untuk Mendapatkan Anak
Ramuannya
1- 3 Ulas Bawang Besar
2- 1 biji telur ayam kampung
3- Madu Lebah secukupnya

Kesemua bahan tadi hendak dimakan pada setiap pagi sebagai sarapan,
sebelum itu hendaklah meminum air suam yang telah disimpan semalaman,
sebagaimana yang telah dilakukan oleh Rasullullah s.a.w. Bacalah
selawat sebelum meminum air tersebut.


Petua 2 -Untuk Mengatasi masalah serangan angin, biasa didalam perut
1- Madu Lebah
2 - Bawang Merah
3- Halba

Bawang merah hendaklah ditumbuk sehingga lumat, kemudian airnya
diperah . Halba hendaklah direbus hingga hancur dan lembik. kedua-dua
dicampurkan dengan madu.Ramuan ini hendaklah diminum setiap pagi.


Petua 3 - Untuk menstabilkan Tenaga Batin
1- Madu Lebah
2- Bawang Merah

Madu lebah dan bawang merah itu direbus sehingga bau bawang merah itu
hilang. Campuran itu hendaklah dimunum satu sudu makan tiap hari
selepas makan. Jumlah madu dan bawang merah hendaklah dalam sukatan
yang sama.

Sunday, February 27, 2011

Petua menjaga kesihatan mata dan muka


DI ANTARA deria penglihatan yang penting bagi manusia ialah mata. Tanpanya, sukar bagi kita menjalani kehidupan seharian. Justeru, terdapat beberapa cara bagi menjaga mata supaya kelihatan lebih bersinar.

Jika menggunakan solekan mata, ia perlu dibersihkan sebelum tidur. Membersihkan mata daripada solekan perlu dilakukan dengan betul. Ini bagi mengelak bahan kimia meresap ke mata yang boleh mengakibatkan rabun warna.

Bahan pembersih mata yang sesuai perlu digunakan bagi menanggalkan solekan.

Mengurut sekeliling mata boleh mempercepatkan pengaliran darah dan mengelak berlaku kedutan. Mulakan urutan di bawah mata, di tepi dan kelopak mata. Ulang cara yang sama di sebelah mata lagi.

Cara tradisional juga boleh diamalkan. Anda hanya perlu menggunakan daun teh dengan merendam ke air panas.

Apabila sejuk, letak daun teh ke kelopak mata. Sebaik-baiknya tutup dengan tuala bersih dan biarkan seketika.

Mentimun boleh digunakan untuk memelihara kecantikan mata. Hiris mentimun nipis-nipis, kemudian letak di kelopak mata untuk seketika. Biasanya mentimun akan menjadi panas dengan cepat, justeru anda perlu menggantikan mentimun itu beberapa kali bagi menghilangkan keletihan mata.



Cara lain ialah dengan menggunakan telur ayam yang direbus. Sapukan telur itu di sekeliling kelopak mata. Cara ini dipercayai dapat melegakan mata yang letih.

Selain itu, anda boleh gunakan ketulan ais kecil bagi menyegarkan mata yang mengantuk. Letakkan tisu bersih dan tutupkan kelopak mata. Kemudian, ambil ais dan gosok di atas tisu itu beberapa kali.

Mata yang cantik dan bersih lahir daripada mata yang sihat. Oleh itu, peliharalah ia setiap waktu.

Friday, February 18, 2011

Petua Daun Sirih


Sirih Pinang banyak digunakan di dalam perubatan tradisional. Kebanyakannya digunakan secara luaran. Tuk Dukun adalah orang yang berperanan dalam penggunaan sirih pinang dalam konsep perubatan ini berserta jampi dan mentera.
Selain untuk perubatan secara tradisional, boleh juga digunakan sebagai petua. Dalam kehidupan seharian ia memainkan peranan penting dan membantu memudahcara serta memberikan kelancaran kerja-kerja dirumah.

Ari-ari Pedih - Ambil sirih bertemu urat, sebiji bauh pala dibenamkan ke dalam abu panas, sebiji pinang yang telah dibelah tiga bahagian serta disapu dengan kapur dan makan pada sebelah pagi, tengahari dan petang. Amalkan selama tiga hari berturut-turut.

Asma - Tujuh helai daun sirih ditumbuk lumat bersama satu sudu teh lada putih dan campurkan minyak kayu putih secukupnya agar menjadi pepesan. Sapukan pada dada pesakit serta leher, amalan ini akan menghilangkan penyakit asma.

- Tujuh helai sirih bertemu urat, tujuh helai daun lalang muda dan seulas lengkuas sebesar ibu jari kaki. Rebuskan dengan satu liter air hingga mendidih sepenuhnya. Minum setengah gelas air rebusan dengan mencampurkan sesudu makan madu lebah serta sesudu teh air limau nipis, sebelum tidur.

Barah - Tiga helai daun sirih bertemu urat dihancurkan lumat berserta kapur sirih sebesar ibu jari kaki dan sesudu makan madu lebah untuk menjadi pepesan. Sapukan tiga kali sehari dibahagian yang sakit.


Batuk Lelah - Daun sirih dilayur dan dituam ke dada pesakit. Air daun sirih diguna untuk minuman kepada pesakit.

Bau Badan - Sapukan adunan tiga helai daun sirih dan sedikit tawas yang telah diramas sama, ke atas badan dan ketiak semasa mandi. Biarkan beberapa ketika dan bilas dengan air bersih.

Bau Mayat - Untuk menghilangkan bau mayat yang melekat pada tangan atau baju setelah menyelesaikan kerja-kerja mandi mayat, ambil beberapa helai daun sirih, ramaskan dan rendamkan bersama baju beberapa ketika sebelum dibilas dengan air bersih.

Bayi Selsema - Beberapa tangkai daun sirih tekan dengan jari hingga mengeluarkan lendirnya, kemudian sapukan pada batang hidung bayi. Cara ini akan melegakan selsema dan pernafasan menjadi mudah.

Berak Darah - Akar korma, gambir dan jintan putih dimakan dengan sirih pinang

Demam - Tujuh helai daun sirih, kemenyan sebesar ibu jari dan tiga ulas bawang merah. Giling halus dan tampalkan di dahi. Lakukan dua kali sehari, cara ini bagi menghilangkan demam dan sakit kepala selepas bersalin.

Demam Panas - Tiga helai daun sirih diramas ke dalam semangkuh air bersih bersama buah pinang muda yang telah dipecah-pecahkan dan jaramkan pada kepala, lakukan beberapa kali sehingga panas badan berkurangan.

Gatal Vagina - Tujuh helai daun sirih direbus dengan dua gelas air, campurkan sedikit asam jawa hingga mendidih. Setelah air menjadi suam bolehlah membasuhnya. Lakukan setiap hari hingga sembuh, terutama untuk ibu-ibu yang baru lepas bersalin.

Gegata - Layurkan daun sirih di atas bara api dan sapukan pada badan yang ditumbuhi gegata. Rasa miang dan gatal akan hilang dengan segera.

Hidung Berdarah - Daun sirih digulung sebesar jari kelingking serta diramas sedikit dibahagian hujungnya untuk mengeluarkan bau dan dimasukkan kehidung yang berdarah. Baringkan pesakit dengan keadaan kepala meninggi.

Kencing - Sekiranya kencing berasa sakit, daun pepesan, sirih bertemu urat, daun pulasari dan bawang merah sebiji dan digiling lumat serta sapukan pada ari-ari dan bahagian pinggang.

Keputihan - Mandi dengan air suam rebusan daun sirih selama tujuh hari untuk membersihkan vagina, rasa gatal dan keputihan akan hilang. Amalan memakan daun sirih setiap hari juga boleh mengelakkan dari masalah keputihan.

- Ambil cendana, telur ayam hitam sebiji dan sehelai sirih. Asahkan cendana dengan sirih dan minumkan dengan kuning telur ayam selama tiga pagi.

Kutu Babi - Petik daun sirih bersama tangkainya. dan titiskan getah sirih ke atas kutu babi yang melekat pada kulit tubuh. ianya akan menjadi senang untuk dicabut.

Lompangan (ulcer) - Tempelan (paste) dari ramuan sirih pinang ditepekkan pada luka untuk menyembuhkan luka dengan cepat pada bibir mulut.

Muntah - Bawang merah, jintan hitam, makan dengan sirih pinang dan semburkan sepahnya dileher dan dadanya

Payu Dara - Untuk menegangkan lagi payu dara, layurkan daun sirih yang telah disapukan dengan minyak zaitun di atas api yang sederhana, atau menggunakan lilin. Apabila daun telah terasa suam dan agak layu, lalu tekapkannya ke atas kedua-dua payu dara dan biarkan seketika. Lakukan dua atau tiga kali seminggu.

Pedih Perut - Lada sulah tujuh butir dan bacakan surah al-Ikhlas tiga kali serta makan dengan sirih pinang serta semburkan sepahnya pada ulu hati.

Penyakit Kelamin - Sepah sirih dihasilkan samada secara kunyahan atau ditumbuk lumat dan disapukan pada bahagian yang sakit.

- Giling lumat daun sirih, sedikit gula merah dan sedikit garam rebuskan hingga sebati, minum airnya sebanyak tiga kali sehari hingga sembuh.

Ruam Peluh - Rebuskan beberapa helai daun sirih dan tapiskan airnya. Sapukan air rebusan ke atas ruam dua kali sehari selama tiga hari berturut-turut.

Sakit Gigi - Kunyah sepiak sirih hingga lumat pada gigi yang sakit. Untuk beberapa ketika sakit gigi akan berkurangan.

Sakit Hati - Bawang putih sepuluh ulas, garam jantan sebuku, sedikit jemuju dan sehelai daun sirih bertemu urat. Tumbuk lumat ramuan tersebut dan bubuhkan air panas sebelum diminum. Amalkan selama tiga pagi, dan ambil segengam garam serta goreng sangan (goreng tanpa minyak), bungkuskan ke dalam kain bersih serta tuamkan kebahagian hati di atas dada.

Sakit Jantung - Untuk meredakan sakit jantung, renekkan tiga helai daun sirih bertemu urat berserta lada ekor dan minum airnya ketika masih suam. Lakukan selama tujuh hari berturut-turut diwaktu pagi.

Sakit Kepala - Daun sirih diramas kedalam air sejuk serta dimasukkan seketul garam jantan untuk di buat jaram (disapu atau dititik sehingga membasahi kulit kepala).

Sakit Mata - Ramaskan beberapa helai daun sirih muda dan masukkan kedalam air serta didihkan seketika, tapiskan dengan kain bersih ke dalam mangkuk dan biarkan hingga pesam-pesam kuku. Rendamkan mata yang sakit serta kelip-kelipkannya. Buat berulang kali sehingga sembuh.


Saturday, February 12, 2011

Petua Hilangkan Bau Pada Bekas Makanan


Bekas menyimpan makanan yang sudah terlalu lama digunakan akan meninggalkan bau yang tidak sedap. Atasi masalah ini dengan merendamkan beberapa helai kertas suratkhabar di dalam bekas tersebut dan biarkan selama beberapa jam. Bau tersebut akan diserap oleh kertas suratkhabar dan bekas makanan anda tidak lagi berbau.

Sunday, February 6, 2011

Petua Lembutkan Daging ketika Memasak


Terdapat beberapa petua untuk melembutkan daging ketika memasak. Antaranya ialah:

1. Rebus daging bersama satu cawan air kelapa hingga lembut. Kemudian masak seperti biasa.

2. Tumbuk halia dan campurkan sedikit garam. Perapkan bahan ini dengan daging selama anggaran setengah jam. Kemudian bilas dengan air bersih dan masaklah daging itu seperti biasa.

3. Masukkan beberapa ketul ais ke dalam bekas yang berisi daging. Biarkan seketika kemudian cuci. Daging akan cepat empuk.

4. Rebus daging bersama akar daun pandan yang telah dicuci bersih. Kemudian masak daging seperti biasa.

5. Rebus daging bersama daun nangka atau daun betik. Kemudian masak daging seperti biasa.

Friday, January 28, 2011

Petua Kurangkan Bau Petai



Petai sangat dikenali dengan baunya yang kuat. Berikut adalah antara cara yang boleh diamalkan untuk mengurangkan bau petai.

1) Rendamkan petai yang telah dipotong dengan air basuhan beras selama sejam. Kemudian bilas dengan air bersih dan bolehlah dimasak.

2) Masukkan terung dalam masakan ynag menggunakan petai.

Wednesday, December 29, 2010

Petua Cerahkan Kulit Muka – Lobak Merah





Parut sebatang lobak merah dan satukan bersama sebiji kuning telur dan sedikit jus limau nipis sehingga sebati. Tepek pada keseluruhan muka dan leher dan biarkan kering. Bilas dengan air bersih. Amalkan tiga kali seminggu.