Friday, December 2, 2011

Kenapa Kek Boleh Merekah?


Adakalanya kek yang kita buat boleh merekah. Kadang-kadang apabila hampir masak , ia merekah dan rekahannya sangat luas. Ada beberapa faktor yang menyebabkannya:

1. Suhu Oven Terlalu Tinggi – Suhu yang biasa membakar kek ialah 180 darjah celcius. Namun begitu setiap jenis oven mempunyai kepanasan yang berlainan. Apabila suhu terlalu panas, bahagian luar kek menjadi keras sedangkan bahagian dalamnya belum lagi kembang. Apabila bahagian dalam mengembang, ia akan menolak keluar dari permukaan kek maka terjadilah rekahan.

2. Terlebih Serbuk Penaik atau Soda – Jika serbuk penaik atau soda bikarbonat tidak disukat dengan betul, ia tidak seimbang dengan jumlah tepung yang digunakan. Akibatnya ia akan menjadi terlalu kembang dan boleh mengakibatkan rekahan.

3. Kek Terlalu Kering – Ini berpunca dari kandungan tepung yang berlebihan dalam resipi atau adunan kekurangan cecair. Keadaan ini menyebabkan kek kering dan boleh menyebabkan rekahan pada kek terutama kek mentega.

4. Acuan Terlalu Kecil – Kadangkala acuan yang digunakan terlalu kecil untuk menampung adunan yang disediakan. Sebaik-baiknya adunan hendaklah dituangkan hingga 1/2 acuan sahaja kerana adunan akan naik dan mengembang.

Untuk memastikan kek tidak merekah, pastikan perkara-perkara disebut di atas diperbetulkan. Letak kek di bahagian tengah oven supaya tidak terlalu panas. Masa membakar yang biasa bagi kek mentega ialah 1 jam dan kek span atau sifon pula lebih kurang 45 minit.

No comments:

Post a Comment