Wednesday, September 21, 2011

Emas Kaki Lima

Assalammualaikum dan Salam Sejahtera semua.

Kenapa Pasir Mas dianggap bandar paling mewah dan selamat di Kelantan?





AKTIVITI jual beli emas agak unik di Pasir Mas, Kelantan. Ini kerana ia lebih banyak dilakukan di kaki lima kedai berbanding di dalam kedai emas sendiri.





Che Som Ahmad, 47, misalnya sekadar meletakkan sebuah meja di depan sebuah farmasi dan meletakkan papan tanda – ‘Di sini ada membeli emas, berlian dan surat pajak gadai’.



“Adik, nak jual emas?,” tanyanya dalam dialek Kelantan. Dan pada kebanyakan masa pertanyaannya itu mendapat reaksi positif daripada wanita yang lalu lalang. Mereka tanpa segan silu datang dan bertanyakan harga emas semasa.


Sebaik mereka menunjukkan barang kemas, Che Som yang lebih mesra disapa Kak Som mengeluarkan pula alat penimbang mudah alih miliknya dari dalam laci meja.


“Pasir Mas masih selamat berbanding Kuala Lumpur. Tetapi kami sentiasa berjaga-jaga juga,” kata Che Som yang sebelum ini sekadar menggunakan kerusi tanpa meja untuk berurus niaga.


Bukan peniaga emas sahaja yang menjadi tarikan di pekan ini. Melewati pasar besar tua Pasir Mas dan Pasar Munduk yang mengapit rel kereta api, cubalah hidangan yang jarang dapat ditemui di tempat lain seperti etak dan cucur sira.




Harga makanan segar atau keringnya lebih murah. Di pasar terbuka itu juga terdapat sebuah gerai yang turut membuat demonstrasi menghasilkan gelang kristal dalam pelbagai corak dan rekaan.


Alang-alang di sini, jangan terlepas melihat sebuah bangunan dua tingkat berwarna hijau bersulam warna emas dan mendapat sentuhan seni bina berunsur Siam.



Itulah kediaman Hajah Wan Sabariah dan Haji Ismail yang memang cukup terkenal di Kelantan sebagai pengusaha serunding dan dodol.

 
Biarpun agak sukar untuk bertemu dengan pemiliknya, pengurus tempat yang turut beroperasi sebagai kilang itu tidak pula menghalang orang ramai untuk melihat sendiri cara dodol dan serunding dihasilkan di kilang mereka.


Oleh Fatimi Nadiah Zainudeen
Sumber : http://www.kosmo.com.my/

No comments:

Post a Comment