Tuesday, October 19, 2010

Hadis

Ketahuilah!!! Di dalam ada seketul daging, apabila daging itu baik, baiklah badan dan apabila rosak daging itu, rosaklah badan, demi sesungguhnya itulah dia hati (jiwa) demikianlah sabda junjungan kita.

Disinilah bagi ahli ilmu jiwa mewajibkan menuntut ilmu jiwa kerana buruk dan baik jiwa itu wajib bagi agama Islam mengawasinya kerana buruk atau baik hati itu tidak dapat dipelihara melainkan dengan ilmu pengetahuan jiwa dengan alasan sabda junjungan kita tadi, cukuplah bagi ahli falsafah mendorong dan bersungguh-sungguh mengerjakannya kerana asas agama Islam itu berdiri ialah pada jiwa juga.

Kenyataan hadith ini adalah benar-benar kenyataan ilmu jiwa yang menerangkan bahawa seseorang itu selamat dan rosak badan meskipun di dunia atau akhirat adalah daripada baik atau buruknya hati, hatilah yang menimbulkan laku rasa badan dalam erti kata badan dengan anggotanya melaksanakan sesuatu yang baik atau sesuatu yang buruk adalah menurut kehendak hati (jiwa). Hati atau jiwa adalah sumber timbulnya perbuatan, dan pekerjaan yang ditimbulnya itu dikatakan baik dan berpahala kalau sasaran hati ditujukan kepada tempat sasaran yang baik dan begitulah disebaliknya. Islam adalah agama yang memandang berat ke dalam hati, daripada hati dibuat keputusan apakah amalan yang dikehendaki oleh hati itu betul-betul ikhlas dan bersih daripada kekotoran

Islam tidak rela memberi balasan baik kepada seseorang yang rajin beramal diatas dasar hati yang kotor yang didalamnya dicampur adukkan dengan sifat-sifat riak, ‘ujub, takabur, sum’ah supaya dipuji dan disanjung dan dijulang ke langit, pendek kata supaya amalan itu sempurna ialah dengan meninggalkan sesuatu selain daripada Allah, junjungan kita telah berpesan dengan sabdanya yg bermaksud: Bahawasanya Allah S.W.T tidak sekali-kali ia menerima dan meredhai akan sesuatu pekerjaan itu sama ada yang berhubung dengan Allah atau berhubung dengan masyarakat dan negara yang dilakukan dengan tidak timbul dari hati yang bersih (ikhlas) dan hendaklah tiap-tiap amalan itu dipersembahkan kepada Allah semata-mata dan dengan lain-lain perkataan kalau sesuatu pekerjaan itu diperbuat kerana menurut hawa nafsu yang kotor atau dilakukan sesuatu itu tidak mengikut landasan-landasan yang telah ditentukan oleh Allah dan Rasul-Nya tentu sahaja pekerjaan-pekerjaan itu tidak diredhai Allah dan diakui Rasul.

Banyak perbuatan yang kelihatan baik, banyak perkataan yang nadanya sedap, dan banyak pula senyuman yang zahirnya manis, tetapi sayang sekali semuanya tidak keluar dari hati yang bersih. Kadang-kadang di dalam perbuatan, perkataan, dan senyuman yang manis itu ada pula berisi racun yang boleh membunuh. Oleh sebab itu Allah terlebih dahulu memberi peringatan supaya berhati-hati dengan firman-Nya yg bermaksud: Dan janganlah kamu ikut orang-orang yang hatinya lalai daripada mengingati kami (Allah) (18. Al Kahfi: 28)

Firman Allah lagi yg bermaksud: Yakni kalimah azab bagi orang-orang yang keras hati mereka itu daripada mengingati Allah (beramal dengan apa yang diperintah oleh Allah dan menjauhi akan larangan-laranganNya) bermula mereka itulah di dalam sesat yang amat nyata
(39. Az Zumar: 22)


No comments:

Post a Comment